Pertanian
merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber
makanan, kewangan dan ekonomi serta menjadi matlamat pengusaha pertanian
bahawa setiap pelaburan yang dilakukan mampu memberi pulangan
menguntungkan.
Tumpuan
kerajaan kepada sektor pertanian bukan satu langkah ke belakang,
sebaliknya usaha dipergiatkan bagi menjadikan sektor ini sebagai
perniagaan untuk jangka panjang. Dalam memajukan sektor pertanian,
kerajaan telah melakukan perubahan, tidak lagi mengikut cara lama
sebaliknya menggunakan bioteknologi dan teknologi moden bagi menambah
nilai hasil pertanian negara.
Kerajaan
tidak melihat pertanian sebagai sektor yang mundur akan tetapi sebagai
sektor industri yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara selain
mengurangkan import makanan. Oleh yang demikian, kita perlu merubah
tanggapan bahawa pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang mempunyai
sedikit nilai ditambah serta menjana pendapatan yang rendah kepada salah
satu cabang perniagaan yang berpotensi untuk dimajukan.
Sektor
tani merupakan kegiataan utama ekonomi masyarakat luar bandar. Kaum
bumiputera merupakan golongan tertinggi yang terlibat dalam perniagaan.
Dengan itu, pembangunan sektor pertanian bukan setakat menjana sumber
tumbuhan baru, malah dapat membantu usaha merapatkan jurang sosioekonomi
di dalam negara.
Kerajaan
akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan rantaian nilai serta
meneroka aktiviti berasaskan pertanian yang mempunyai nilai ditambah
yang tinggi, perladangan komersial berskala besar dan menggunakan ICT
serta memanfaatkan sepenuhnya potensi dalam bioteknologi. Masyarakat
tani pula perlu mengambil peluang yang tersedia ini bagi memajukan diri
dan sektor pertanian keseluruhannya. Bioteknologi merupakan satu
industri baru dan penting, berpotensi menjana sumber kekayaan baru.
Usaha akan dipergiat bagi membangunkan industri bioteknologi sebagai
peneraju baru pertumbuhan ekonomi. Tumpuan akan diberi kepada
penggunaan bioteknologi dalam pertanian.
Perjalanan
untuk menjadikan sektor tersebut sebagai satu perniagaan memerlukan
pembudayaan keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu
generasi usahawan tani bagi menerajui usaha merevolusikan sektor
pengeluaran makanan.
Untuk
berjaya di dalam bidang pertanian kita perlu ada role model
petani-petani berjaya. Skala pertanian yang kecil masih menjadi masalah
besar dan menghalang para petani meningkatkan pendapatan mereka.
Petani harus bekerja pada skala ekonomi yang dapat meningkatkan
pendapatan dengan mengkomersialkan usaha yang ada. Di sinilah letaknya
peranan bank dan agensi berkaitan untuk membatu petani mengusahakan
sektor pertanian secara komersial.
Masyarakat
tani perlu mengubah mentaliti dan pendapat selama ini bahawa hasil
pengeluaran mereka hanya cukup untuk keperluan sendiri dan akan dijual
sekiranya ada lebihan. Aspek kualiti bukan keutamaan dalam pengeluaran
mereka. Mereka perlu yakin bahawa aktiviti pertanian masa kini bukan
sekadar memenuhi keperluan sara hidup sahaja malah ianya satu perniagaan
yang boleh memberikan kekayaan. Berdasarkan perkembangan semasa iaitu
dengan penggunaan jentera, pentadbiran secara tradisional yang
menghasilkan produktiviti rendah boleh ditingkatkan melalui teknologi
sedia ada.
Sektor
pertanian yang sedang rancak dibangunkan oleh kerajaan meliputi
industri asas tani yang ketika ini telah mencapai nilai ditambah dan
berpotensi menyediakan 128,000 pekerjaan baru secara langsung dalam
jangka masa lima tahun akan datang. Potensi sektor ini tiada batasannya
jika diusahakan dengan teliti. Menjelang tahun 2020, sektor pertanian
perlu berada di tahap kejayaan yang membantu membina imej sesebuah
negara maju.
Di
negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara maju
lain, petani dipandang tinggi kerana mereka tergolong daripada
orang-orang kaya. Ini disebabkan sektor pertanian yang diusahakan oleh
mereka memberi pulangan menguntungkan. Menurut pakar ekonomi berkaitan
pertanian, orang kaya dalam sektor pertanian sebenarnya bukan terdiri
daripada golongan petani sejati tetapi adalah golongan pelabur dari
sektor swasta atau individu yang mempunyai modal besar untuk
mengusahakan industri pertanian secara komersial. Pertanian merupakan
satu bidang yang memerlukan modal besar dan hanya mereka yang sanggup
melabur akan memperolehi kejayaan.
Untuk
memastikan pertanian yang diusahakan menguntungkan, usahawan tani perlu
sedia berubah terhadap cara berfikir, bertindak dan membuat keputusan
sebagai seorang usahawan. Setiap perbelanjaan dan pendapatan direkod
bagi mengetahui untung rugi sesuatu projek yang diusahakan. Trend
pasaran, risiko dalam bidang pertanian, keadaan persekitaran, cuaca dan
lain-lain yang berkaitan dengan faktor pengeluaran perlu sentiasa
diberikan perhatian.
Bagi
memastikan bidang pertanian merupakan perniagaan yang menguntungkan dan
mampu memberikan kekayaan, aspek kuantiti dan kualiti sentiasa
dipertingkatkan. Kualiti produk yang dihasilkan akan menentukan harga
pasaran hasil yang akan dijual. Bagi menambahkan lagi daya saing produk
yang dihasilkan, proses nilai tambah seperti pemprosesan, penggredan,
pembungkusan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan.
Pertanian
dalam negara mampu berdaya saing sekiranya semua pengusaha dalam bidang
pertanian turut mengambilkira program pensijilan yang diperkenalkan
oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Pengusaha-pengusaha
pertanian boleh mendapatkan pengiktirafan melalui pensijilan Amalan
Pertanian Baik (APB) seperti sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia
(SALM) daripada Jabatan Pertanian Malaysia, Sijil Amalan Ladang Ternakan
(SALT) daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia dan Skim
Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) daripada Jabatan Perikanan
Malaysia. Selain daripada produk yang dikeluarkan berkualiti dan
selamat untuk dimakan, pensijilan diperolehi secara tidak langsung dapat
menepati piawaian pengeluaran antarabangsa yang membolehkan hasil
keluaran dipasarkan ke luar negara.
Sumber: http://pertubuhanpeladang.com.my/kbgsepat/index.php?option=com_content&view=article&id=53&Itemid=96
Tidak ada komentar:
Posting Komentar